SHAIFUL diiringi anggota polis untuk dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan melakukan ugutan terhadap ibunya yang berusia 48 tahun. FOTO Iqmal Haqim Rosman
SHAIFUL diiringi anggota polis untuk dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan melakukan ugutan terhadap ibunya yang berusia 48 tahun. FOTO Iqmal Haqim Rosman
BERNAMA

PENIAGA mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan mengugut mahu membunuh ibu kandungnya, Khamis lalu.

Tertuduh, Muhammad Shaifulzaini Pazeli, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Bapa tiga anak itu didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Noor Jahan Beevi Abdul Jabar, 48, untuk mendatangkan ketakutan dengan cara mengeluarkan kata-kata mahu membunuh mangsa di sebuah rumah di Taman Tun Rahah, Ayer Keroh, pada 7.30 malam, 25 Jun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya dan jika ugutannya menyebabkan kematian atau cedera parah boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan itu dikurangkan atas alasan dia perlu menanggung anak dan isteri.

Majistret Muhammad Nazrin membenarkan Muhammad Shaifulzaini diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu dia tidak boleh mengacau ganggu ibunya.

Mahkamah menetapkan 13 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 1:51 PM