ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam runtuhan binaan konkrit longkang.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam runtuhan binaan konkrit longkang.
Ruwaida Md Zain


SEORANG pekerja binaan terpaksa menahan sakit lebih 10 minit akibat tersepit di dalam longkang konkrit di kawasan pembinaan Jalan Kenangan, Meru, Selangor, pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, Yazli Yahya berkata, mangsa tersepit pada bahagian perut akibat dihimpit binaan konkrit yang tumbang ke arahnya.

"Sepasukan 10 pegawai dan anggota dari BBP Kapar segera ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 9.52 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati seorang pekerja binaan projek perumahan terperangkap dan tersepit pada binaan konkrit longkang itu," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, mangsa masih dalam keadaan sedarkan diri sewaktu operasi menyelamatkannya dilakukan.

Yazli berkata, anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dengan mempraktikkan kaedah regangan pada struktur runtuhan menggunakan peralatan hidrolik.

"Anggota bomba mengambil masa 3 minit untuk mengeluarkan mangsa warga Myanmar, Nur Alam Sayed Karim, 28, dari dalam longkang itu.

"Mangsa yang cedera pada bahagian perut kemudian diserahkan kepada petugas perubatan untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa sedang melakukan kerja pemasangan longkang di kawasan pembinaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 7:06 PM