PENDUDUK mengangkat mayat Alvin Chelen (gambar kecil). FOTO Ihsan Pembaca.
PENDUDUK mengangkat mayat Alvin Chelen (gambar kecil). FOTO Ihsan Pembaca.
Mohd Roji Kawi


GURU yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Baru, Dalat dekat Mukah selepas selesai urusan di sekolahnya meninggal dunia selepas dipanah petir, semalam.

Alvin Chelen, 32, yang juga Penolong Kanan Kokurikulum, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bungan Besar sedang mengemudi perahu sendirian di tengah Sungai Igan, ketika dia disambar petir kira-kira 5 petang.

Dua rakannya menaiki perahu berasingan mengekorinya.

Sumber berkata, dua rakan mangsa iaitu seorang guru dan kakitangan sokongan sekolah sama terkejut apabila mangsa rebah sebaik panahan petir itu.

Mereka menghampiri mangsa dan Alvin sudah tidak sedarkan diri sebelum perahu mangsa ditunda ke jeti Sungai Kut Muara terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Dalat Deputi Superintendan Saga Chunggat, mengesahkan kejadian itu.

"Doktor Hospital Dalat mengesahkan mangsa parah di kepala dan kesan terbakar juga dapat dilihat pada rambut dan baju guru berkenaan," katanya.

Sementara itu, guru sekolah itu yang juga rakan mangsa, Grace Ramli memberitahu, pada hari kejadian, semua guru dan kakitangan sekolah hadir untuk melakukan kerja pentadbiran.

"Selepas sesi berakhir, saya pulang ke Sibu kira-kira 2.30 petang tetapi sebelum itu sempat bertemu mendiang di jeti sekolah.

"Dia seorang yang peramah dan suka bergurau tetapi sepanjang berada di sekolah dia kurang ceria walaupun sekali-sekala bergurau dengan rakan lain.

"Malah ketika berjumpanya kali terakhir di jeti sekolah, dia juga tidak ceria seperti biasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Grace berkata, Alvin mengajar di situ sejak 2012 dan ia sekolah pertama dia bertugas selepas tamat latihan perguruan.

Semua guru dan kakitangan sekolah masih terkejut dengan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 9:54 AM