MOHD Rasis  bersama rakannya sedang memunggah sampah yang hanyut dilaut. FOTO Baharom Bakar.
MOHD Rasis bersama rakannya sedang memunggah sampah yang hanyut dilaut. FOTO Baharom Bakar.
Baharom Bakar


SEKUMPULAN nelayan bukan saja turun ke laut untuk mencari rezeki harian, malah turut melakukan kerja amal dengan mengutip sampah bagi mengurangkan pencemaran alam, sekali gus memastikan hidupan laut dapat membiak.

Ketua kumpulan nelayan itu, Mohd Rasis Ismail, 38, dari Kampung Masjid Haji Kadir, Pasir Panjang, Kuala Nerus, berkata, setiap kali turun ke laut, antara 70 hingga 100 kilogram sampah hanyut akan dikutip dan diangkut ke bot untuk dibawa balik ke jeti.

Katanya, antara sampah yang dikutip adalah tali, pukat buruk, ranting kayu dan pelepah kelapa serta dahan pokok.

"Kami akan berenang dan ada ketikanya terpaksa menyelam beberapa meter ke dasar laut untuk mengutip sampah termasuk pelepah kelapa buruk yang tersangkut pada tali.

"Sampah paling banyak dikutip adalah di perairan Pulau Bidong dan di kawasan perairan Pulau Kapas serta Pulau Tenggol," katanya ketika ditemui di jeti bot di Pulau Duyong, hari ini.

Mohd Rasis berkata, sampah akan dikutip sebelum pulang ke jeti selepas memancing ikan atau mencandat sotong.

"Kami meluangkan masa antara 30 hingga 45 minit untuk menyelam ke dasar laut atau berenang mengutip sampah.

"Sebagai nelayan, sudah pasti saya mengharapkan dapat menangkap ikan dengan banyak, namun apabila keadaan pantai tercemar, ia menyebabkan hidupan laut berkurangan," katanya yang menggunakan bot gentian kaca untuk ke laut menangkap ikan bersama rakannya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim ketika dihubungi memuji usaha dilakukan oleh kumpulan nelayan berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan kajian dilakukan Jabatan Perikanan negeri, nelayan di negeri ini dianggarkan membuang sampah sebanyak 2.5 tan metrik ke dalam laut setiap hari.

"Anggaran itu berdasarkan sebanyak 2,578 bot pelbagai jenis berdaftar dengan Jabatan Perikanan negeri.

"Kerajaan meminta semua nelayan mengutip sampah hanyut untuk dibawa pulang bagi dilupuskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 10:46 AM