Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 416 kes positif Covid-19 dalam kalangan bukan warga negara Malaysia termasuk satu kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 51 kes adalah warga Indonesia, India (37), Myanmar (31), Pakistan (29) dan Filipina (27).

Beliau berkata, dua kematian dilaporkan adalah kes ke-1906 iaitu lelaki warga Pakistan yang menghadiri perhimpunan di Seri Petaling dan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pagi semalam.

Dr Noor Hisham berkata, kes kedua membabitkan warga Indonesia meninggal dunia pada 31 Mac lalu.

“KKM bekerjasama rapat dengan Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka turut diliputi dalam aktiviti pencegahan serta kawalan yang dilaksanakan kerajaan.

“Selain itu, KKM juga mendapat banyak bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dalam menjalankan aktiviti pengesanan di lapangan dengan penglibatan anggota di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

ANGGOTA tentera membuat kawalan sekitar kawasan flat Selangor Mansion dan flat Malayan Mansion ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Masjid India, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA tentera membuat kawalan sekitar kawasan flat Selangor Mansion dan flat Malayan Mansion ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Masjid India, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, seramai 137 sukarelawan daripada pelbagai sektor di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengembleng tenaga bersama-sama menjalankan aktiviti berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) adalah satu-satunya makmal yang terbabit secara langsung dalam menjalankan ujian pengesanan Covid-19 di Malaysia.

Katanya, kapasiti makmal itu kini diperluaskan dan diperkukuhkan membabitkan 43 makmal daripada sektor awam, universiti dan sektor swasta yang berkemampuan menjalankan 11,546 ujian pengesanan dan pengesahan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 6:09 PM