MOHD Asmawi Fikri (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Zawiah. FOTO Ramli Ibrahim
MOHD Asmawi Fikri (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Zawiah. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


NASIB ibu tunggal, Zawiah Hassan di Kampung Mentara Lama, dekat Gua Musang yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu mendapat perhatian ramai pihak yang menghulurkan sumbangan.

Selain dihimpit kemiskinan, Zawiah, 44, terpaksa menjaga anak sulung, Mohd Safuan Mohd Hafizan, 23, yang mengidap penyakit misteri sejak Ogos lalu.

"Anak saya tidak boleh berjalan dan hilang ingatan terpaksa dijaga sepenuh masa," katanya ketika menerima kunjungan rombongan Majlis Belia Jajahan (MBJ) diketuai Yang Dipertuanya, Mohd Asmawi Fikri Abdul Ghani.

Selepas itu, keluarga terbabit turut menerima kunjungan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail.

Zawiah berkata, sejak pelaksanaan PKP, dia yang sebelum ini mengambil upah membasuh pinggang mangkuk di kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Merapoh, Kuala Lipis, hilang sumber pendapatan.

"Sekolah ditutup, jadi tidak ada lagi punca pendapatan bagi menampung perbelanjaan terutama membeli barang keperluan," katanya.

Dia berkata, perkara yang difikirkan sekarang ialah mahu mengubati penyakit anaknya dan mencari peluang pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 11:59 AM