PEMERIKSAAN suhu dan saringan gejala COVID-19 dilakukan terhadap mangsa banjir juga turut dilaksanakan ketika pendaftaran masuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selain dilakukan secara harian sebagai langkah berjaga-jaga. FOTO Ihsan JKNJ
PEMERIKSAAN suhu dan saringan gejala COVID-19 dilakukan terhadap mangsa banjir juga turut dilaksanakan ketika pendaftaran masuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selain dilakukan secara harian sebagai langkah berjaga-jaga. FOTO Ihsan JKNJ
Mohamed Farid Noh


MANGSA banjir di negeri Johor akan ditempatkan di sekolah sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan diasingkan menggunakan bilik darjah, berbanding dewan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, ia sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan wabak Covid-19 di PPS.

Katanya, hujan lebat menyebabkan banjir kilat di Johor Bahru, Kluang dan Tangkak sekali gus beberapa PPS dibuka bagi menempatkan mangsa.

"Terdapat dua PPS masih dibuka di daerah Kluang yang membabitkan 63 mangsa dari 18 keluarga manakala PPS di daerah lain sudah ditutup.

"Bagaimanapun, bagi mengelakkan wujud kluster jangkitan Covid-19, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil langkah penggunaan bilik kelas sekolah sebagai PPS berbanding dewan dengan mengasingkan setiap keluarga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, setiap mangsa banjir juga perlu melakukan penjarakan sosial di PPS selain ketika proses pemindahan dibuat.

Katanya, tempat mencuci tangan dengan sabun serta cecair pembasmi kuman juga disediakan di PPS.

"Terdapat empat mangsa banjir yang dilaporkan mempunyai gejala jangkitan respiratori di PPS di Kluang.

"Namun melalui pemeriksaan fizikal dan penilaian risiko, termasuk sejarah dedahan dan sejarah perjalanan, kes berkenaan tidak dikategorikan sebagai disyaki Covid-19," katanya.

Vidyananthan berkata, bagaimanapun mangsa yang bergejala diminta memakai pelitup muka sepanjang masa di PPS.

Katanya, pemeriksaan suhu dan saringan gejala kepada mangsa banjir juga turut dilakukan ketika pendaftaran masuk ke PPS selain dilakukan secara harian sebagai langkah berjaga-jaga.

"Aktiviti kebersihan dan semburan nyah kuman di setiap PPS dan rumah mangsa banjir juga akan dijalankan tanpa terkecuali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 2:10 PM