ANGGOTA membuat pemeriksaan terhadap beberapa barangan di kedai runcit di Lunas. FOTO Ihsan KPDNHEP
ANGGOTA membuat pemeriksaan terhadap beberapa barangan di kedai runcit di Lunas. FOTO Ihsan KPDNHEP
Nor Farhani Che Ad


PENIAGA kedai runcit dikompaun RM1,000 selepas gagal meletakkan tanda harga pada beberapa sayuran yang dijual di premisnya di Lunas, Kulim, hari ini.

Tindakan ke atas peniaga berusia 21 tahun itu dibuat dalam pemeriksaan sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kulim pada 11.30 pagi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Kulim, Mohd Fazly Edros berkata, tindakan diambil mengikut Perintah 3 (1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.

"Kes ini diambil semasa Pemeriksaan Khas Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijalankan oleh KPDNHEP ke atas sektor peruncitan.

"Kita dapati SOP PKPB dipatuhi dengan baik oleh peniaga itu, namun dia gagal dari segi penandaan harga ke atas sayur-sayuran seperti tomato, timun, ubi kentang dan sayuran lain yang dipamer untuk jualan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fazly berkata, seramai 21 pegawai KPDNHEP sentiasa memantau bekalan makanan harian terutama beras, tepung gandum, minyak masak dan gula di peringkat peruncit dan pemborong bagi daerah Kulim dan Bandar Baharu.

Katanya, sepanjang tahun ini sehingga semalam, sebanyak 3,521 premis diperiksa di daerah berkenaan termasuk membabitkan 71 aduan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 50 tindakan undang-undang diambil dengan nilai rampasan RM12,617 dan nilai kompaun berjumlah RM16,500," katanya.

KULIM 13 MEI 2020. Salah seorang anggota operasi membuat pemeriksaan ke atas beberapa barangan di kedai runcit di Lunas hari ini. NSTP/IHSAN KPDNHEP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 6:02 PM