GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norsyazwani Nasri


JURUELEKTRIK menjadi mangsa terbaru sindiket penipuan pinjaman yang tidak wujud di media sosial membabitkan kerugian RM3,048.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa yang berusia 50 tahun melayari laman sosial Facebook (FB) dan tertarik dengan satu iklan pinjaman peribadi pada 2 Mei lalu.

"Selepas berbincang dengan pengendali FB itu, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman RM30,000.

"Mangsa kemudian dimaklumkan bahawa pinjamannya sudah diluluskan namun perlu mendapatkan perlindungan insurans," katanya pada kenyataan hari ini.

Katanya, tanpa mengesyaki apa-apa, pada 5 Mei lalu, mangsa mendepositkan RM1,548 ke akaun dimaklumkan sebagai bayaran perlindungan insurans.

"Keesokan harinya, mangsa dimaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp yang wang pinjaman tidak dapat dikeluarkan kerana mangsa perlu menjelaskan pembayaran Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terlebih dahulu berjumlah RM3,000.

"Bagaimanapun, mangsa hanya membuat bayaran RM1,500 sahaja dengan alasan tidak cukup wang," katanya.

Stanley berkata, mangsa tersedar bahawa dirinya ditipu selepas diminta untuk membuat pembayaran lagi bagi mendapatkan pinjaman terbabit.

"Mangsa kemudiannya tampil melaporkan kejadian dan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 1:40 PM