DR AZMAN Ibrahim (kanan) melawat sangkar ikan selepas menyampaikan bantuan makanan ikan di Kuala Nerus. FOTO BAHAROM BAKAR
DR AZMAN Ibrahim (kanan) melawat sangkar ikan selepas menyampaikan bantuan makanan ikan di Kuala Nerus. FOTO BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar


SERAMAI 577 penternak akuakultur yang berhadapan masalah mendapatkan makanan ikan menarik nafas lega apabila kerajaan negeri menyalurkan bantuan anak ikan sebagai alternatif menggantikan pelet, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, setiap penternak akuakultur akan menerima bantuan 100 kilogram (kg) ikan kecil bagi menggantikan pelet.

Beliau berkata, bantuan ikan kecil itu disalurkan bagi meringankan beban penternak akuakultur yang terjejas selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Bantuan ikan kecil itu sebagai sumber makanan alternatif untuk ternakan ikan selain pelet.

"Setiap penternak akuakultur di seluruh negeri akan mendapat 100kg ikan kecil, manakala pengusaha pusat asuhan kerapu hibrid di Kampung Air Tawar dan Kampung Keluang, Besut akan diagihkan bantuan dalam bentuk pelet," katanya menerusi kenyataan di Kuala Terengganu, hari ini.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi berkata, pengagihan anak ikan itu akan dilakukan secara berperingkat kepada semua penternak sangkar air payau di seluruh negeri.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 4:24 PM