GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yun Mikail


SEBANYAK 47 peratus kes Covid-19 di Sabah membabitkan kontak kes positif tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal jangkitan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata peratusan berkenaan membabitkan individu berumur satu hingga 72 tahun dengan median umur 29 tahun dan tidak mempunyai penyakit kronik seperti diabetes serta hipertensi.

"Laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga menunjukkan dari 315 kes Covid-19 di Sabah, 60 kes adalah kes sporadik yang dikesan melalui saringan samaada individu terbabit baru balik daripada luar negeri atau melalui aktiviti saringan bersasar dalam negeri.

"Selain itu, 12 peratus daripada kes wabak ini adalah dalam kalangan pelajar," katanya menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Christina berkata kira-kira 7,200 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) asal Sabah dijangka pulang ke negeri ini daripada Semenanjung dan Sarawak manakala sekitar 1,700 pelajar akan bergerak di dalam negeri.

"Dalam pada itu, sekitar 2,000 pelajar yang berada di negeri ini dijangka akan bergerak keluar daripada Sabah menuju ke negeri lain.

"Ini adalah pergerakan dalam jumlah yang sangat besar bagi masa singkat dan berpotensi untuk penularan jangkitan Covid-19 pada skala besar.

"Oleh itu, JKNS sudah menyediakan pelan tindakan bertujuan untuk meminimakan risiko jangkitan yang berpotensi berlaku semasa pergerakan pulang pelajar IPT ke kampung masing-masing.

"Kita berharap orang awam khususnya ibu bapa memahami situasi ini dan memberi kerjasama bagi memastikan pergerakan besar-besaran ini tidak menyebabkan kemudaratan kesihatan kepada penduduk di Sabah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 9:29 AM