FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Juwan Riduan


SEORANG lelaki yang terbaring di depan sebuah sekolah di Kampung Karangan di sini, akibat mabuk ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Suspek berusia 47 tahun ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, 4.45 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Beaufort Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati, suspek keluar dari rumahnya di Kampung Beringgin Gadong di sini, untuk membeli minuman keras di pekan.

"Suspek minum minuman keras hingga mabuk sebelum ditemui terbaring.

"Suspek ditahan kerana melanggar Peraturan 3(1) mengikut peruntukkan Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) (No.3) 2020," katanya.

Azmir berkata, suspek yang dibawa ke IPD Beaufort sedar berkaitan PKP namun tetap keluar untuk membeli minuman keras bagi menghilangkan ketagihan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Filipina berusia 22 tahun ditahan di depan sebuah surau di Kampung Padas Valley di sini, semalam kerana ingkar PKP.

"Suspek menyatakan pergi ke surau itu untuk solat. Dia ditahan kerana ingkar PKP selain turut disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 10:22 PM