GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Noor Atiqah Sulaiman


PROGRAM imunisasi di semua fasiliti kesihatan masih berjalan seperti biasa walaupun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, ibu bapa disarankan menepati jadual imunisasi dan tarikh temujanji yang ditetapkan oleh anggota kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kelewatan penerimaan imunisasi boleh meningkatkan risiko berlakunya peningkatan pendedahan bayi dan kanak kanak kepada penyakit cegahan vaksin seperti campak dan polio.

"Kementerian menyedari risiko gangguan dalam program imunisasi serta penurunan jumlah kedatangan bayi dan kanak-kanak ke klinik kesihatan bagi tujuan imunisasi.

"Ia disebabkan keperluan mematuhi amalan penjarakan sosial serta kebimbangan masyarakat kepada jangkitan virus Covid-19.

"(Kelewatan menerima suntikan vaksin) boleh menyebabkan berlakunya peningkatan wabak penyakit cegahan vaksin yang juga akan mengancam nyawa jika tidak dibendung," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena Minggu Imunisasi Sedunia (World Immunization Week) yang disambut pada 24 hingga 30 April setiap tahun.

Dr Noor Hisham berkata, bagi ibu bapa yang kini berada di kampung, mereka perlu membuat temujanji imunisasi anak mereka di klinik kesihatan kerajaan atau swasta berdekatan dengan tempat mereka.

"Dalam usaha kita untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan mematuhi saranan KKM, imunisasi kanak-kanak perlu diteruskan bagi mengekalkan imuniti kelompok yang tinggi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, imunisasi sudah terbukti sebagai salah satu daripada intervensi kesihatan awam yang paling berjaya dan efektif dalam mengurangkan kematian penyakit cegahan vaksin.

"Sejarah dan fakta membuktikan imunisasi sudah menyelamatkan jutaan nyawa di seluruh dunia. Bagaimanapun, dalam dua tahun kebelakangan ini, beberapa negara di seluruh dunia mengalami penularan wabak penyakit cegahan vaksin seperti campak (measles) dan polio.

"Malaysia juga turut dikejutkan dengan kemunculan kes polio pertama pada Disember tahun lalu selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit berkenaan.

"Sehingga kini, terdapat empat kes polio yang disahkan melalui ujian makmal serta dua kes polio serasi (compatible) yang menepati ciri klinikal penyakit polio dan kesemua kes ini berlaku di Sabah," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, bagi kes campak, terdapat penurunan kes berkenaan iaitu 1,077 kes pada tahun lalu berbanding 1,958 kes pada 2018 di seluruh Malaysia.

"Namun, jumlah kematian dilihat meningkat dengan 15 kematian pada 2019, berbanding enam pada 2018.

"Sebanyak 915 kes pertussis (batuk kokol) dicatatkan dengan 20 kematian pada tahun lalu yang meningkat daripada 892 kes dengan 22 kematian pada 2018. Manakala sebanyak 16 kes difteria dicatatkan dengan enam kematian pada 2019 berbanding 2018 iaitu 18 kes dilaporkan dengan enam kematian pada tahun berkenaan.

"Majoriti kes terbabit tidak menerima suntikan vaksin. Terdapat juga kes berlaku dalam kalangan bayi yang belum sampai umur atau layak untuk menerima suntikan vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 10:39 AM