Sri Ayu Kartika Amri

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sentiasa memastikan syarikat yang memohon untuk beroperasi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Kluster Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun kerajaan bersetuju membenarkan sektor tambahan beroperasi namun, pandangan dan nasihat daripada KKM amat penting.

Katanya, dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ekonomi negara perlu dijamin berjalan dengan baik secara berperingkat.

“Di samping melaksanakan PKP, kita juga mahu ekonomi negara dapat berjalan seiring tetapi tertakluk kepada syarat KKM kerana KKM sudah pun mengemukakan SOP yang komprehensif dan ketat untuk dipatuhi oleh semua pengusaha dan syarikat yang ingin beroperasi.

“MITI sentiasa mengkoordinasi SOP dengan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memastikan syarikat yang dibenarkan beroperasi tidak melanggar syarat ditetapkan.

“Malah, barisan hadapan ekonomi seperti pegawai MITI dan agensi kerajaan lain yang terbabit memproses permohonan syarikat sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lalu, bekerja 24 jam setiap hari bagi memastikan proses berjalan lancar,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan pengurusan kanan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) ke pusat operasi MITI, di sini, hari ini.

Kunjungan itu diketuai Pengerusi MPB, Datuk Syed Hussian Aljunid, Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood dan Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Interim The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Mustapha Kamil Mohd Janor.

AZMIN Ali mengadakan sidang media selepas melawat bilik operasi Covid-19 MITI di Menara MITI, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
AZMIN Ali mengadakan sidang media selepas melawat bilik operasi Covid-19 MITI di Menara MITI, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD

Mohamed Azmin berkata, semua permohonan yang diterima akan diproses dan melalui penilaian daripada agensi berkaitan lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Saya bagi pihak kerajaan ingin mengucapkan penghargaan kepada semua yang terbabit membantu bilik operasi ini berfungsi dalam melaksanakan keputusan kerajaan untuk membenarkan sektor penting beroperasi.

“Setakat hari ini, untuk PKP tahap ketiga, MITI sudah menerima lebih 50,000 permohonan dan sebagai contoh daripada MOSTI saja, ada lebih 3,000 permohonan diterima dan proses ini sedang berjalan.

“Pegawai terbabit (antaranya dari MITI, MOSTI dan MIDA) ini yang akan membantu kita memberi input sama ada permohonan itu boleh dipertimbangkan atau sebaliknya,” katanya.

Selain bilik operasi, MITI juga menyediakan pusat panggilan bagi menerima aduan dan pertanyaan daripada pihak pengusaha serta syarikat.

Krisis wabak Covid-19 bukan sahaja memberi impak besar kepada ekonomi Malaysia, malah dunia.

Kesan Covid-19 juga menyebabkan penurunan permintaan eksport dan domestik negara, dan ada rakyat yang kehilangan pekerjaan serta punca pendapatan akibat pelaksanaan PKP.

Keseimbangan dalam memastikan ekonomi dapat berjalan seiring dengan kepatuhan SOP KKM amat penting untuk menangani impak penularan Covid-19 sekali gus penguncupan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 6:43 PM