ENAM warga Rohingya yang ditahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan PKP di Paka, semalam. FOTO ROSLI ILHAM
ENAM warga Rohingya yang ditahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan PKP di Paka, semalam. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


ENAM lelaki etnik Rohingya ditahan ketika sedang melepak sambil makan sirih di hadapan sebuah rumah di Paka, Dungun, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kesemua mereka yang berusia antara 17 hingga 40 tahun itu ditahan pada 6 petang.

Menurutnya, sepasukan polis yang melakukan rondaan Covid-19 terserempak dengan kumpulan terbabit sebelum menahan mereka.

“Kesemua mereka didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan PKP (PKP) dan siasatan polis mendapati rumah tersebut dijadikan sebagai tempat melepak etnik Rohingya untuk bersembang sambil memakan sirih,” katanya.

Katanya, kesemua suspek yang bekerja sebagai buruh binaan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut.

“Kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Sementara itu, Baharudin berkata, pihaknya akan mempertingkatkan rondaan di kawasan perkampungan selepas mendapati masih ada yang mengingkari PKP.

“Seramai 60 anggota kami akan melakukan rondaan terutamanya di kawasan perkampungan termasuk di kawasan Felda dan kawasan pedalaman bagi memastikan penduduk mematuhi arahan PKP, “katanya.

“Anggota kami akan bertugas 24 jam dan kita tidak teragak-agak menangkap mereka yang ingkar dan mendakwa mereka di mahkamah,” katanya.

Baharudin berkata, fasa ketiga PKP, pihaknya sudah menahan 30 individu orang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 2:01 PM