SEKITAR kedai gunting rambut.
SEKITAR kedai gunting rambut.
Nazri Abu Bakar


PENGUSAHA kedai gunting rambut di Bandaraya Melaka menutup operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membantu memutuskan rantaian Covid-19.

Tinjauan di zon merah Covid-19 di Melaka Tengah termasuk Cheng, Krubong, Malim, Paya Rumput dan Sungai Udang mendapati tiada kedai gunting dibuka buat masa ini.

Malah, tinjauan di Alor Gajah mendapati tiada kedai gunting rambut dibuka walaupun permintaan orang ramai untuk menggunting rambut amat tinggi selepas PKP bermula 18 Mac lalu.

Tukang gunting rambut , Ismail Bakar berkata, buat masa ini dia tidak akan membuka kedainya sehingga PKP berakhir.

Menurutnya, sukar untuk memastikan jarak sosial satu meter ketika menggunting rambut seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Biarlah saya hilang sumber pendapatan buat masa ini, yang penting dapat membantu negara bebas daripada jangkitan Covid-19.

“Malah saya bimbang ia bakal wujud kluster daripada situasi terbabit. Apapun terpulang kepada yang lain untuk berbuat demikian berikutan semua ada pandangan dan pendapat masing-masing tidak sama,” katanya.

Baginya, sukar untuk mengesan pesakit Covid-19 berikutan tidak semuanya menunjukkan tanda jangkitan.

Sehubungan itu, dia hanya membersihkan kebun buah-buahan termasuk cempedak dan nangka sebagai mengisi masa terluang berikutan tidak membuka kedainya.

Sejak membuka kedai gunting rambut di Kelemak hampir 30 tahun lalu, dia masih menawarkan harga murah iaitu RM7 atau RM8 seorang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 5:46 PM