Ismail Bakar ketika menggunting rambut di kedainya di Kelemak, Alor Gajah selepas pandemik Covid-19. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Ismail Bakar ketika menggunting rambut di kedainya di Kelemak, Alor Gajah selepas pandemik Covid-19. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


TUKANG rambut tradisional di Melaka akur dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi perkhidmatan gunting rambut di kedai mereka dalam usaha membantu memutuskan rantaian Covid-19.

Tukang gunting rambut di Kelemak, Alor Gajah, Ismail Bakar, 59, berkata walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli set perlindungan diri, pengukur suhu badan dan kelengkapan lain, dia akan mematuhi arahan berkenaan.

Katanya, memang sukar untuk menjangkakan normal baharu berkenaan ketika menggunting rambut, tambahan selama ini dia hanya sekadar menutup mulut sahaja untuk menggunting.

"Saya belum boleh membayangkan situasi memakai pelindung muka dan sarung tangan ketika menggunting rambut. Mungkin panas, tambahan kedai saya hanya menggunakan kipas angin sahaja.

"Begitu juga dalam kalangan pelanggan yang mungkin sedikit rimas dengan situasi terbabit. Apapun semuanya akan dilalui dengan tenang, sabar dan disiplin untuk menampung perbelanjaan keluarga," katanya yang sudah menjalankan perniagaan itu sejak lebih 20 tahun lalu.

Dia yang juga tukang gunting terkenal di Alor Gajah mengakui belum memikirkan untuk menaikkan harga perkhidmatannya dan hanya mengenakan bayaran RM8 sahaja sebelum ini.

Malah dia sanggup menutup kedainya pada setiap Jumaat bagi mengunjungi rumah penduduk uzur dan sakit untuk tujuan menggunting rambut mereka turut berfikir untuk menjalankan aktiviti dari rumah ke rumah sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 8:23 PM