NAJIB.
NAJIB.
BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi di sini menjadualkan semula tarikh pendengaran hujahan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan pihak pembelaan menghadapi kekangan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyuddin Md Som berkata mahkamah menetapkan 28 April untuk pihak pembelaan memfailkan hujahan bertulis mereka dan pihak pendakwaan perlu menjawab hujahan bertulis itu pada 12 Mei.

“Ini susulan permohonan dikemukakan peguam utama pihak pembelaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah supaya dilanjutkan tempoh dua minggu untuk memfailkan hujahan bertulis itu dengan mengambil kira PKP yang sedang dilaksanakan.

“Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu. Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan itu, dan beliau turut membenarkan tempoh dilanjutkan seminggu lagi,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 21 April sebagai tarikh akhir untuk menyerahkan hujahan bertulis itu.

Mahyuddin berkata mahkamah juga menetapkan tiga hari dari 18 hingga 20 Mei untuk pendengaran hujahan lisan.

“Dengan ini, tarikh bagi hujahan lisan yang sebelum ini ditetapkan pada 13 Mei dan 15 Mei dilapangkan,” katanya.

Pada 11 Mac, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil 19 saksi, dengan perbicaraan di pihak pembelaan berlangsung selama 33 hari sejak 3 Disember tahun lalu.

Pada 11 November tahun lalu, Najib diperintah membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, iaitu tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dana SRC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 7:06 PM