MISPANI (dua dari kiri) akan lakukan pemantauan secara maksimum di lima kawasan ‘hotspot’. FOTO AMIR MAMAT
MISPANI (dua dari kiri) akan lakukan pemantauan secara maksimum di lima kawasan ‘hotspot’. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


POLIS mengerahkan 395 anggota untuk mengawal serta memantau pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pengumuman Jasin sebagai zon merah wabak Covid-19, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, jumlah itu membabitkan 26 pegawai serta 369 anggota berpangkat rendah selain beberapa pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Pasukan Sukarelawan Polis (PVR).

Katanya, dengan kekuatan mantap itu, pihaknya akan melakukan pemantauan secara maksimum khususnya di lima kawasan ‘hotspot’ di daerah berkenaan iaitu Kampung Ayer Merbau, Chohong, Serkam, Merlimau dan bandar Jasin yang mencatatkan kes positif antara lima hingga 14 kes.

“Hasil pemantauan kami sejak beberapa hari lalu, kebanyakan masyarakat mengambil kesempatan keluar lebih daripada seorang ketika ketiadaan anggota polis di kawasan mereka, sebaliknya mereka akan mematuhi peraturan jika anggota kami berada di situ.

“Saya sudah mengarahkan semua anggota supaya mengambil tindakan tegas dan drastik ke atas mereka yang melanggar arahan PKP.

“Tiada sebarang kompromi terhadap mereka yang melanggar undang-undang serta perintah berkenaan,” katanya selepas mengiringi Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shahrul Lalli Masduki melakukan pemantauan PKP di Jeti Nelayan Pantai Siring Kampung Pulai, Serkam, Jasin, hari ini.

Sementara itu, Mispani berkata, pematuhan penduduk di daerah itu berada pada tahap 95 peratus dan hanya segelintir belum mematuhi arahan PKP.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan di semua kawasan tumpuan termasuk di pasar basah, pasar mini serta kedai serbaneka yang sering dikunjungi ramai terutama pada waktu pagi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 5:12 PM