PETUGAS Jabatan Kesihatan Daerah Lembah Pantai memantau penghuni flat Malayan Mansion untuk mengambil sampel berikutan penemuan kes Covid-19 ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Masjid India, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
PETUGAS Jabatan Kesihatan Daerah Lembah Pantai memantau penghuni flat Malayan Mansion untuk mengambil sampel berikutan penemuan kes Covid-19 ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Masjid India, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Mahaizura Abd Malik


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) wajar dilanjutkan tetapi perlu dilaksanakan mengikut zon dengan memberikan lebih tumpuan kepada kawasan zon merah dan kuning.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am Dr Hanafiah Bashirun berkata, PKP tidak perlu dilanjutkan kepada kawasan zon hijau berikutan bebas daripada wabak itu namun aspek pengawalan perlu berterusan.

“Jika kita lihat trend kes jangkitan Covid-19 hari demi hari sama rata maknanya paras terkawal tetapi masih tidak mencapai sasaran untuk sifar kes.

“Selagi kita benarkan campur aduk antara zon merah dan kuning ke zon hijau, sampai bila pun selagi tidak menemui vaksin, memang agak sukar kita kawal virus malah untuk capai ke angka tiga digit pun mustahil kerana ia mudah merebak.

“Perlu difahami wabak ini dipindahkan melalui manusia sebagai pembawa dan jangkitan tidak akan berlaku jika masyarakat luar tidak masuk ke kawasan zon hijau atau orang dalam zon itu tidak keluar ke kawasan lain.

“Jadi, penyelesaian terbaik PKP memang perlu dilanjutkan tetapi harus mengikut zon dengan perketatkan lagi zon merah dan hadkan pergerakan zon kuning supaya tidak masuk ke zon hijau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kerajaan harus memberikan kelonggaran kepada zon hijau supaya mereka boleh menjalankan rutin harian namun tetap bersyarat dan terkawal bagi mengelak penularan jangkitan.

“Berikan kelonggaran kepada zon hijau menjalankan aktiviti rutin macam biasa tetapi syaratnya sentiasa amalkan langkah pencegahan kebersihan seperti memakai penutup mulut dan hidung serta pencuci pembasmi kuman.

“Untuk memastikan kaedah ini berkesan, pastikan tiada sesiapa daripada zon itu keluar dari kawasan dan jangan benarkan orang luar masuk termasuk melarang kemasukan pengangkutan awam untuk mengelak sebarang penularan jangkitan baharu.

“Ia bukan saja menghidupkan ekonomi di kawasan itu malah secara tidak langsung masyarakat di zon kuning dan merah akan termotivasi untuk menjadi seperti zon hijau dengan syarat mereka perlu turunkan kes ke paras sasaran,” katanya.

Menurutnya, kaedah situasi menang-menang itu lebih berkesan berbanding pelaksanaan PKP di semua tempat yang bukan sahaja menjejaskan ekonomi rakyat malah mempunyai risiko peningkatan penyakit tidak berjangkit dan kesihatan mental.

“Secara keseluruhannya, PKP ini memberikan impak negatif kepada ekonomi yang sudah tentu mencetuskan kebimbangan rakyat terutama mereka yang bekerja sendiri.

“Tidak mustahil malah saya menjangkakan kes psikiatri, kemurungan, kencing manis, obesiti dan darah tinggi akan meningkat selepas PKP ini kerana manusia boleh alami tekanan jiwa jika berkurung lama di sesuatu tempat dengan semua aktiviti harian dihadkan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Epidemiologi Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan berkata, tempoh PKP wajar dilanjutkan lagi sekurang-kurangnya dua minggu bagi memastikan jarak sosial dipatuhi masyarakat sekali gus dapat mengurangkan kadar jangkitan kes baharu.

“Tempoh bagi pemutusan rangkaian sesuatu jangkitan bergantung kepada jenis penyakit, tempoh inkubasi dan mod penyebaran penyakit itu.

“Bagi Covid-19 ini pula, ia virus baharu yang sangat mudah berjangkit dan merebak pada kadar yang sangat cepat.

“Masih awal untuk kita mencapai sifar kes namun kesan penjarakan sosial melalui PKP menampakkan hasilnya apabila kita berjaya mengawal peningkatan kes yang mendadak seperti diramalkan beberapa pihak sebelum ini.

“Pada pandangan saya, melanjutkan tempoh PKP selama dua minggu lagi adalah satu langkah kawalan sesuai untuk terus membendung penularan Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 2:04 PM