GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Omar Ahmad


SERAMAI 55 orang ditahan kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan itu menjadikan jumlah keseluruhan individu ingkar PKP sejak 18 Mac lalu seramai 974 orang.

Katanya, 55 tangkapan terdiri daripada individu berumur 23 hingga 54 tahun.

“Sehingga kini, 339 individu sudah didakwa di mahkamah dengan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

“Sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayob Khan berkata, tindakan lebih tegas diambil kepada yang ingkar sepanjang PKP fasa kedua dan menasihati orang ramai supaya memberi kerjasama serta patuhi arahan.

Untuk pertanyaan, boleh hubungi talian 07-221 2999 atau balai polis berhampiran.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 11:57 AM