SHAMSUL Anuar bertanya khabar Ibrahim ketika melawat warga emas itu di Kampung Kota Tampan, Lenggong hari ini.
SHAMSUL Anuar bertanya khabar Ibrahim ketika melawat warga emas itu di Kampung Kota Tampan, Lenggong hari ini.
Yusmizal Dolah Aling


LELAKI orang kurang upaya (OKU) fizikal, Ibrahim Shahid, 80, yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak terpinggir apabila kediamannya dibaik pulih, selain menerima bantuan barangan keperluan harian.

Baik pulih kediaman Ibrahim yang mesra disapa Pak Berahim oleh penduduk setempat itu dibuat atas inisiatif Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau meluluskan peruntukan berjumlah RM10,000 untuk membaik pulih rumah warga emas itu, terutama bahagian dapur dan bilik air, selain menyerahkan bantuan barangan keperluan harian, hari ini.

Shamsul Anuar berkata, nama warga emas berkenaan yang tinggal di Kampung Kota Tampan, Lenggong berada dalam senarai penerima bantuan berkenaan.

Menurutnya, dia yang juga penerima bantuan berjumlah RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 1999 hanya menunggu masa untuk mendapat sumbangan itu.

“Selain agensi kerajaan, UMNO Bahagian Lenggong juga kerap memberi bantuan kepada Pak Berahim kerana dia tinggal bersendirian.

“Dia adalah penerima skim Elaun Pekerja Cacat dan kemudian ditukar kepada skim Bantuan Orang Tua sejak 2009 sehingga kini dengan kadar RM350 sebulan.

“Bantuan kepada Pak Berahim ketika pelaksanaan PKP bagi menangani penularan wabak Covid 19-ini juga ada,” katanya.

Shamsul Anuar yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, beliau juga sudah menghubungi Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Perak untuk membantu warga emas itu.

“Mereka (JKM) memaklumkan akan berusaha membantu dengan sebaik mungkin bersama pihak berkaitan bagi memastikan keperluannya sepanjang tempoh PKP ini tidak terjejas,” katanya.

Semalam, portal berita Harian Metro melaporkan warga emas itu mendakwa menerima bantuan beras lima kilogram dan minyak masak daripada anak didiknya untuk meneruskan kelangsungan hidup.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 7:38 PM