SEKITAR kawasan Sungai Lui Batu 21, Hulu Langat, kelmarin. FOTO Asyraf Hamzah
SEKITAR kawasan Sungai Lui Batu 21, Hulu Langat, kelmarin. FOTO Asyraf Hamzah
Nurul Hidayah Bahaudin


Hulu Langat: Bancian penduduk di tiga kampung di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PPKD) di Sungai Lui, Hulu Langat dilakukan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, proses bancian itu yang turut dibantu pihaknya dari segi keselamatan dijangka mengambil masa tiga hari.

“Bagi hari ketiga pelaksanaan PKPD di kawasan ini, seramai lapan pegawai dan 53 anggota polis terbabit dalam penugasan ini yang juga akan membantu pihak KKM membuat bancian.

“Dalam proses bancian yang dilakukan, penduduk yang mempunyai simptom akan diarahkan untuk melakukan saringan di Klinik Desa Sungai Lui,” katanya ketika ditemui di hadapan Dewan Orang Ramai Sungai Lui, Hulu Langat, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, setakat ini, semua 3,900 penduduk di kawasan berkenaan mematuhi arahan PKPD dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Kami mendapati tiada aktiviti berlaku dalam radius lima kilometer di kawasan ini.

“Semua penduduk akur dan mengikut arahan serta sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa.

“Pihak polis juga ada melakukan rondaan berkala setiap jam dalam tempoh 24 jam di kawasan ini untuk memastikan arahan PKPD dipatuhi oleh penduduk,” katanya.

Terdahulu, kerajaan melaksanakan PKPD di tujuh kampung berkuat kuasa tengah malam 30 Mac lalu hingga 13 April depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan pada 29 Mac lalu memaklumkan arahan itu membabitkan kawasan di Batu 21 hingga Batu 24, Sungai Lui.

Katanya, tindakan itu dibuat susulan nasihat KKM yang mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23, Sungai Lui.

Tujuh kampung yang menjalani PKPD adalah di Kampung Batu 21, Kampung Batu 22, Kampung Batu 23, Kampung Batu 24, Kampung Gemi, Kampung Orang Asli Paya Lebar dan Kampung Orang Asli Sungai Gabai.



  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 11:21 AM