BESI ampaian tuala mandi digunakan Tuan melawan penyamun dalam kediaman keluarganya. FOTO NSTP
BESI ampaian tuala mandi digunakan Tuan melawan penyamun dalam kediaman keluarganya. FOTO NSTP
Ahmad Ismail


“SAYA guna gerakan silat yang dipelajari untuk memukul penjenayah bersenjatakan pisau itu dengan menggunakan besi ampaian berkali-kali sebelum dia melarikan diri,” kata Mohd Hafizul Jalaluddin, 15.

Terdahulu, pada kejadian 4.45 pagi tadi, penjenayah yang memakai penutup mulut dan hidung menceroboh masuk ke kediaman keluarga Mohd Hafizul di Taman Yayasan melalui dapur.

Ketika itu, kecuali Mohd Hafizul yang mesra dipanggil Tuah, ahli keluarga lain sedang tidur.

Menurut Mohd Hafizul, dia sedang melayari Internet di telefon bimbitnya berkaitan perkembangan wabak Covid-19 sebelum terlihat kelibat penjenayah.

“Saya ada di ruang tamu sebelum terlihat penjenayah cuba membuka daun pintu bilik adik yang berusia 11 tahun.

“Saya bingkas bangun dan ambil besi ampaian di ruang tamu sepanjang kira-kira satu meter sebelum melibas kepala penjenayah.

“Bagaimanapun, penjenayah sempat menepisnya. Saya gunakan ilmu silat dipelajari untuk terus mengasak dan memukul kepala penjenayah sebelum dia melarikan diri dengan keluar melalui dapur sebelum memanjat pagar,” katanya.

Mohd Hafizul kemudiannya terus mengejut ahli keluarganya dan menerangkan apa yang berlaku.

Ibu Mohd Hafizul yang juga suri rumah, Hazimah Mohd Hassan, 45, berkata, ketika kejadian, dia, suaminya serta empat ahli keluarga lain sedang tidur.

“Selepas dimaklumkan berkaitan kejadian, kami terus menghubungi polis. Kami turut berusaha mengesan penjenayah namun dia dipercayai sudah melarikan diri ke arah belukar berhampiran.

“Tiada barangan dapat dilarikan penjenayah. Dua kereta di parkir di halaman kediaman juga selamat. Tidak lama kemudian, anggota Balai Polis Buloh Kasap tiba bagi melakukan siasatan,” katanya.

Menurut Hazimah, dia bangga dengan apa yang dilakukan oleh anak lelakinya bagi melindungi keluarga.

“Mohd Hafizul yang kami panggil Tuah aktif belajar silat di sekolahnya sejak berusia lapan tahun.

“Syukur kerana dia serta ahli keluarga kami semuanya selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Raub Selamat berkata, operasi mengesan penjenayah masih berjalan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9312222,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 2:58 PM