PENDUDUK Taman Tropika, Gua Musang mengharapkan ihsan jiran yang ada kenderaan pacuan empat roda untuk mengangkut air bersih dari kampung berhampiran terutama untuk memasak. FOTO RAMLI IBRAHIM
PENDUDUK Taman Tropika, Gua Musang mengharapkan ihsan jiran yang ada kenderaan pacuan empat roda untuk mengangkut air bersih dari kampung berhampiran terutama untuk memasak. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


LEBIH 100 keluarga di Taman Tropika, Gua Musang, berdepan kesukaran termasuk untuk membersihkan diri apabila berkurung dalam rumah dengan keadaan bekalan air terputus.

Nasib mereka mungkin berlarutan memandangkan ketika ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penularan wabak Covid-19.

Penduduk, Awang Soh, 58, berkata, bekalan air paip ke taman itu kerap terputus hingga mengambil masa berbulan-bulan untuk dipulihkan.

Katanya, kejadian terbaru berlaku empat hari lalu hingga kebanyakan keluarga sudah dua hari tidak mandi selepas air simpanan dalam tangki turut habis digunakan.

“Bagi tujuan memasak, kami mengharapkan ihsan jiran yang menggunakan kenderaan empat roda untuk mengambil air bersih dari kampung lain.

“Kami tidak dapat bergerak bebas untuk berkumpul ahli keluarga dan mandi di sungai kerana halangan PKP yang boleh dikenakan tindakan ingkar arahan.

“Mungkin berlaku tekanan air rendah kerana kami tinggal di atas bukit dan penduduk di kawasan rendah berhampiran tidak berdepan dengan masalah bekalan air,” katanya.

Suri rumah, Syarifah Awang Ngah, 56, sejak air paip terputus empat hari lalu, tidak ada pihak tertentu datang membantu menyediakan air bersih.

Katanya, nasib baik ada jiran prihatin yang datang membawa air bersih untuk penduduk terjejas terutama bagi tujuan memasak.

“Hampir setiap malam saya tidak tidur lena kerana menunggu bekalan kembali pulih, tetapi malangnya ia tidak berlaku dan tong simpanan air sudah kosong.

“Kalau keadaan begini berterusan sudah tentu memberi tekanan hidup kepada kami semua yang masih berkurung dalam rumah kerana arahan PKP,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim ketika dihubungi berkata, beliau akan berbincang dengan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi mengatasi masalah itu.

“Kami dimaklumkan bukan penduduk di taman itu sahaja yang berdepan dengan masalah bekalan air terputus, tetapi ada beberapa kampung turut berdepan masalah sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 4:07 PM