ABD Latiff Ahmad. FOTO arkib NSTP
ABD Latiff Ahmad. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperkenalkan beberapa insentif bagi membantu lima agensi di bawah kementeriannya yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, agensi itu ialah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan

(KESEDAR) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Terengganu Tengah (KETENGAH).

Katanya, antara insentif yang diperkenalkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) termasuk memberi diskaun sehingga 30 peratus masing-masing bagi sewaan premis perniagaan dalam tempoh enam bulan serta bagi sewaan tanah untuk tempoh yang sama.

“Selain itu, kita turut memberikan pengecualian bayaran sewa rumah selama tiga bulan; memberikan tangguhan bayaran sewa atau sewa beli rumah selama tiga bulan dan menangguhkan bayaran balik pembiayaan atau pinjaman perniagaan (mikro kredit) selama enam bulan.

“Kesemua ini membabitkan implikasi kewangan RM2.13 juta dan memberi manfaat kepada 10,000 orang termasuk isi rumah,” katanya pada kenyataan hari ini.

Abd Latiff berkata, mengikut pecahan, bagi KEDA, ia akan membabitkan implikasi kewangan RM129,200 iaitu menyediakan diskaun sewaan premis sebanyak 30 peratus selama enam bulan mulai April ini dan memberi manfaat kepada 172 usahawan.

“Bagi PERDA, ia akan menyediakan kemudahan moratorium bayaran balik untuk tempoh enam bulan bermula 1 April 2020, diskaun bayaran sewa premis 30 peratus bagi tempoh enam bulan mulai 1 April 2020, diskaun penyewaan tanah 30 peratus selama enam bulan dan pengecualian sewaan kepada penyewa di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Tok Alang, Seberang Perai Utara selama tiga bulan bermula April ini. Kesemua ini membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM730,000.

“Bagi KEJORA, ia akan menyediakan pengecualian bayaran sewa bulanan buat 285 premis bermula April sehingga Disember serta menangguhkan bayaran sewa dalam Wilayah KEJORA bagi rumah kampung (Perumahan Tersusun) dan rumah pangsa Bandar Tenggara di KEJORA bagi Mac hingga Mei ini. Ia membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM725,800.35,” katanya.

Menurut Abd Latiff, bagi KESEDAR, ia akan menyediakan kemudahan moratorium kepada usahawan Skim Pinjaman Ekonomi KESEDAR untuk tempoh enam bulan mulai 1 April dan memberikan diskaun 30 peratus kepada usahawan yang menyewa premis perniagaan KESEDAR selama enam bulan.

“Selain itu, mereka juga akan diberikan pengecualian sewa kepada usahawan KESEDAR dalam tempoh PKP dan kesemua ini membabitkan implikasi kewangan RM250,000.

“Bagi KETENGAH, ia turut menyediakan diskaun 30 peratus selama enam bulan kepada usahawan yang menyewa di premis perniagaan serta menangguhkan bayaran sewa atau sewa beli rumah kediaman KETENGAH mulai April hingga Jun membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM300,000,” katanya.

Pihaknya berharap pelaksanaan insentif ini akan membantu mereka yang terjejas di LKW, meringankan beban dan meningkat

semula ekonomi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 6:53 PM