LONGGOKAN sampah di ruang pemisah antara bangunan sebuah PPR di Setapak, Kuala Lumpur, dipercayai dibuang daripada tingkat atas tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
LONGGOKAN sampah di ruang pemisah antara bangunan sebuah PPR di Setapak, Kuala Lumpur, dipercayai dibuang daripada tingkat atas tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin


“TINDAKAN individu tidak bertanggungjawab membuang sampah dari tingkat atas pernah menyebabkan saya nyaris cedera ketika mahu mengalihkan motosikal,” kata seorang penghuni di sebuah Projek Perumahan Rakyat di Setapak, Kuala Lumpur ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Wan Nooranizam Wan Ani, 32, berkata, masalah pembuangan sampah secara merata-rata di kawasan berkenaan bukan perkara baru, namun ia semakin teruk ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Sebelum ini, masalah pembuangan sampah di kawasan ini memang ada berlaku setiap minggu.

“Namun masalah berkenaan semakin meruncing ketika ini apabila hampir setiap hari ada sahaja sampah dibuang dari tingkat atas.

“Malah saya sendiri pernah berdepan detik hampir cedera apabila sampah yang dibuang penghuni dari tingkat atas mengenai motosikal,” katanya.

Wan Nooranizam yang bekerja sebagai tukang masak berkata, masalah sampah itu juga menyebabkan dia meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuang bumbung pada tingkap rumahnya yang terletak di tingkat dua berikutan dipenuhi sampah sebelum ini.

“Saya tinggal di sini sejak 1998 dan sepanjang tempoh itu, ada saja sampah yang dibuang dari tingkat atas terjatuh pada bumbung tingkap berkenaan menyebabkan ia penuh dengan sampah.

“Susulan itu, saya meminta DBKL menanggalkan bumbung berkenaan pada 2013 bagi menyelesaikan masalah bunyi bising dan bau akibat sampah yang dibuang.

“Saya berharap DBKL akan meneliti cadangan beberapa penghuni supaya meletakkan jaring di setiap tingkat bagi mengelakkan insiden mengakibatkan kecederaan atau kematian akibat tindakan membuang sampah dari tingkat atas,” katanya.

Terdahulu, beberapa gambar menunjukkan longgokan sampah di ruang pemisah antara bangunan PPR terbabit dipercayai dibuang dari tingkat atas tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun tinjauan wartawan Harian Metro di lokasi mendapati longgokan sampah berkenaan sudah dialihkan dan hanya ada beberapa sisa sampah di ruang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 9:06 PM