Amir Abd Hamid


MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) akan bersidang sebelum tarikh tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berakhir 31 Mac ini bagi menentukan sama ada akan dilanjutkan atau sebaliknya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan dikaji berdasarkan perkembangan yang berlaku sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac lalu.

Menurutnya, sejak bermulanya perintah berkenaan sehingga hari ini laporan diterimanya dari petugas lapangan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertambah baik dengan kira-kira 90 peratus berjaya.

“Walaupun begitu masih terdapat mereka yang tidak mematuhi. Saya mengharapkan 100 peratus patuh. Dari satu sudut ia boleh dikatakan berkesan tetapi kalau ada lagi pergerakan kita harap dapat dikurangkan ke paras paling minima.

“Yang kita benarkan seperti dimaklumkan sebelum ini ialah hanya keluar untuk membeli barangan keperluan. Polis dan tentera secara berhemah akan menasihatkan jika ada rakyat terpaksa keluar maka dengan cepat akan diminta pulang balik ke kediaman masing-masing.

“Beli ubat pun di farmasi di kawasan masing-masing, PKP harus dipatuhi. Sama ada kita nak lanjutkan, akan kita teliti dari segi perkembangan yang kita lihat hari ini,” katanya ketika menjawab soalan wartawan sama ada PKP akan dilanjutkan.

PASUKAN keselamatan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di Batu 5 Jalan Apas, Tawau sempena pelaksanaan PKP. FOTO Abdul Rahemang. TAIMING
PASUKAN keselamatan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di Batu 5 Jalan Apas, Tawau sempena pelaksanaan PKP. FOTO Abdul Rahemang. TAIMING

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi.

Katanya, sebelum tempoh PKP tamat 31 Mac ini, MKN akan bersidang sama ada langkah akan diambil untuk tempoh dua minggu memadai atau dilanjutkan untuk tempoh seminggu atau dua minggu.

“Ini akan kita kaji dan akan kita maklumkan. Sekali lagi saya rayu ‘stay at home’ dan ia sudah jadi tagline sebahagian masyarakat. Tinggal selamat di rumah untuk menjamin virus tidak akan menular di samping tindakan sendiri dengan menjaga kebersihan seperti kerap membasuh tangan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 3:33 PM