SEBAHAGIAN orang ramai membeli barangan keperluan makanan segera ekoran penularan wabak Covid-19. FOTO Aizuddin Saad
SEBAHAGIAN orang ramai membeli barangan keperluan makanan segera ekoran penularan wabak Covid-19. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Roji Kawi


MULAI Selasa ini semua pasar raya besar, pasar raya, kedai kopi, klinik swasta, restoran, kedai serbaneka 24 jam dan stesen minyak di Sarawak diarah tutup bermula jam 7 malam hingga 7 pagi setiap hari.

Keputusan itu dicapai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam mesyuarat hari ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, arahan had masa operasi semua premis terbabit berkuat kuasa mulai 24 hingga 31 Mac ini.

“Langkah ini perlu untuk menghentikan pergerakan awam yang masih banyak di tempat-tempat tertentu.

“Perintah itu akan dilaksanakan di seluruh negeri, namun ia tidak akan menjejaskan mereka yang terbabit dalam penguatkuasaan operasi seperti polis, tentera, pekerja perubatan dan pegawai imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN berkata, keputusan itu adalah satu lagi strategi untuk membendung penularan Covid-19.

Katanya lagi, semua pasar raya, pasar raya besar, farmasi dan klinik swasta kini perlu melaksanakan penjarakan sosial pelanggan di premis masing-masing.

“Pihak polis akan memantau pelaksanaan pematuhan penjarakan sosial itu secara rawak.

“Pemilik premis juga dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan suhu pada pelanggan mereka dan menyediakan cecair pencuci tangan pembasmi kuman,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 5:05 PM