PENUNTUT Fakulti Sains Gunaan UiTM bersama pensyarah dan pegawai sains menunjukkan cecair pembasmi kuman DIY (buatan sendiri) untuk kegunaan warga fakulti. FOTO IHSAN Dr Mohd Sufri Mastuli
PENUNTUT Fakulti Sains Gunaan UiTM bersama pensyarah dan pegawai sains menunjukkan cecair pembasmi kuman DIY (buatan sendiri) untuk kegunaan warga fakulti. FOTO IHSAN Dr Mohd Sufri Mastuli
Murnaena Muhammad Nasir


FAKULTI Sains Gunaan (FSG) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam mengambil inisiatif mengeluarkan cecair pembasmi kuman DIY (buatan sendiri) dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

Koordinator Hal Ehwal Pelajarnya Dr Mohd Sufri Mastuli berkata, projek DIY Sanitize FSG itu adalah inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar dan Sekretariat Mahasiswa FSG.

“Projek ini di bawah pemantauan saya sendiri sebagai ketua projek dan dibantu oleh pegawai sains serta pembantu makmal.

“Ia sebagai salah satu kaedah untuk mendedahkan penuntut tentang proses pembuatan sendiri cecair pembasmi kuman (sanitizer) bagi kegunaan warga fakulti.

“Kami dapat menghasilkan 15 botol cecair pembasmi kuman yang masing-masing mengandungi 200 mililiter (ml),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, proses penghasilan cecair berkenaan dibuat di bawah pengawasan pakar sains dan mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Orang ramai tidak dibenarkan menghasilkan cecair itu sesuka hati tanpa merujuk mereka yang berpengetahuan dalam bidang sains. “Ini kerana ianya boleh mengundang perkara yang buruk seperti kebakaran disebabkan penggunaan bahan kimia seperti isopropil alkohol yang mudah terbakar.

“Selain isopropil alkohol, bahan lain yang digunakan ialah gel aloe vera dan minyak pati anti-bakteria,” katanya.

Dr Sufri berkata, inisiatif ini dilakukan susulan barangan berkenaan kehabisan stok dalam pasaran kerana pembelian panik sejak jangkitan wabak Covid-19 meningkat di seluruh negara.

“Melalui projek ini, kami berjaya menghasilkan cecair pembasmi kuman pelbagai bau seperti citrus, lavender dan teh hijau.

“Ia akan diletakkan di lokasi tumpuan sekitar fakulti seperti kaunter pejabat, surau dan laluan pejalan kaki.

“Penghasilan cecair berkenaan juga membantu pelajar dan warga fakulti yang kurang berkemampuan untuk membeli cecair pembasmi kuman ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 5:18 PM