MAKLUMAT palsu yang tular di WhatsApp. FOTO tular
MAKLUMAT palsu yang tular di WhatsApp. FOTO tular
Hazsyah Abdul Rahman


“LAHAD Datu tidak ditutup, itu tidak benar dan ia maklumat palsu,” kata Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor.

Menurut Nasri, pihaknya menerima makluman awal berhubung tiga pesanan suara dan dua mesej melalui WhatsApp berkaitan penutupan daerah Lahad Datu yang kononnya akibat penularan koronavirus baharu (Covid-19).

“Kami ada menerima laporan tiga pesanan suara dan menafikan perkara berkenaan. Ia adalah maklumat palsu.

“Jalan masuk dan keluar Lahad Datu sentiasa terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Nasri turut menafikan dakwaan kononnya ada pesakit Covid-19 melarikan diri dari Hospital Lahad Datu.

“Perkara terbabit juga tidak benar. Pesakit itu masih dirawat dan tidak melarikan diri seperti ditularkan dalam mesej palsu terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dengan segera dan akan mengesan individu memuat naik pesanan suara serta mesej palsu terbabit.

Terdahulu, pesanan suara dalam dialek Kantonis dan Hakka memaklumkan pengguna jalan raya ke Lahad Datu disekat susulan penularan Covid-19, tular sejak pagi hari ini.

Dalam masa sama, mesej palsu turut tular melalui WhatsApp kononnya pesakit positif Covid-19 lari dari hospital.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 8:47 PM