Juwan Riduan


POLIS mengesan anak saudara Romel Sharif, 34, yang menghilangkan diri bagi membantu siasatan berhubung kejadian kebakaran di Kampung Lampijas di Membakut, semalam yang mengorbankan tujuh beranak.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, remaja lelaki dikenali sebagai Rizal itu dipercayai menghilangkan diri selepas kehadiran polis di lokasi kebakaran.

“Rizal turut cedera dalam kebakaran itu namun dia menghilangkan diri selepas melihat kehadiran anggota polis yang menjalankan siasatan kebakaran itu.

“Apa yang kita perlukan hanya keterangan daripada Rizal mengenai kejadian itu untuk membantu siasatan polis.

“Namun dia menghilangkan diri dan kita percaya Rizal bertindak demikian kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, pihaknya belum dapat mengambil keterangan daripada Romel dan anak sulungnya, Rezwan Romel, 15, kerana mereka masih dalam keadaan trauma dan cedera.

Ditanya mengenai hasil perkembangan bedah siasat ke atas semua mangsa yang terkorban, Azmir berkata, bedah siasat yang selesai hari ini mendapati semua mangsa disyaki lemas akibat terhidu asap tebal selepas terperangkap di dalam rumah berkenaan.

“Namun laporan lengkap mengenai punca sebenar kebakaran itu masih dijalankan,” katanya.

Dalam kejadian 1.16 pagi semalam, tujuh beranak rentung selepas rumah kayu didiami mereka musnah terbakar.

Mereka yang terkorban iaitu Nadia, 25, dan enam anaknya Samasan, 2; Faizal, 5; Danial, 7; Shahsa, 10; Aisa, 13, dan Nana 14.

Berita berkaitan

Bomba siasat pelbagai kemungkinan

Terkilan, sedih adik terkorban dalam kebakaran

'Teringat wajah Aca..'

Tujuh beranak rentung: Ketua keluarga parah [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 8:40 PM