WAN Rosdy melihat pemandangan pusat bandar Kuantan dari Menara Kuantan 188. FOTO Asrol Awang.
WAN Rosdy melihat pemandangan pusat bandar Kuantan dari Menara Kuantan 188. FOTO Asrol Awang.
Asrol Awang


MENARA Kuantan 188 yang sebelum ini dikenali sebagai Menara Teruntum yang terletak di Laman Teruntum, Kuantan dijangka dibuka kepada orang ramai akhir tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menara dengan ketinggian 180 meter itu bakal menjadi tarikan pelancongan baharu di daerah itu.

Katanya, Menara Kuantan 188 adalah menara tinjau tertinggi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan serta di Mersing, Johor.

“Ia juga menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur.

“Sebagai mercu tanda pelancongan, Menara Kuantan 188 ini bakal menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk melawat Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Menara Kuantan 188 oleh ECER kepada Kerajaan Pahang, hari ini.

Majlis penyerahan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat kepada Wan Rosdy.

Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang berbesar hati menamakannya Menara Kuantan 188 supaya lokasi dan ketinggian menara itu akan sentiasa tersemat di ingatan pelancong.

Selain itu, katanya, projek Menara Kuantan 188 juga dijangka memberi kesan limpahan kepada lokasi tarikan pelancong lain seperti Taman Kerang, Taman Esplanade, Mini Zoo Teruntum dan Bandar Diraja Pekan yang terletak tidak jauh dari sini.

“Ia sekali gus membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan berdekatan dan menggalakkan pelaburan dari sektor swasta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 7:47 PM