Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, semalam.

Istiadat angkat sumpah berkenaan menamatkan kemelut politik yang melanda negara sejak 22 Februari lalu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selesai menzahirkan istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kelapan kepada Muhyiddin di Istana Negara.

Majlis di Singgahsana Kecil Istana Negara itu turut menyaksikan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh melahirkan setia dan sumpah simpan rahsia di hadapan Agong.

Turut menyaksikan istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

MUHYIDDIN mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Al-Sultan Abdullah, semalam. FOTO BERNAMA
MUHYIDDIN mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Al-Sultan Abdullah, semalam. FOTO BERNAMA

Hadir sama, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Pada 24 Februari lalu Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh kepada Al-Sultan Abdullah.

Hari yang sama Baginda menerima peletakan jawatan itu serta berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim.

Pelantikan itu sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai Perdana Menteri Interim ketika itu, Dr Mahathir menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik dan Kabinet dibentuk.

AL-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah bersama Muhyiddin dan Noorainee selepas istiadat pengurniaan surat cara pelantikan sebagai Perdana Menteri dan mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di Istana Negara, semalam. FOTO BERNAMA
AL-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah bersama Muhyiddin dan Noorainee selepas istiadat pengurniaan surat cara pelantikan sebagai Perdana Menteri dan mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di Istana Negara, semalam. FOTO BERNAMA

Hampir seminggu sejak peletakan jawatan negarawan itu, polemik politik berlaku antara blok parti dengan pelbagai kejutan lain disaksikan rakyat.

Peristiwa bersejarah semalam sekali gus memuktamadkan polemik berkenaan seterusnya mendaulatkan sistem pentadbiran Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 7:30 AM