MOHD Fikri (kanan) berbual dengan keluarga mangsa lemas selepas menyerahkan cek wang manfaat Takaful Malaysia di PSMZA Dungun. FOTO Rosli Ilham
MOHD Fikri (kanan) berbual dengan keluarga mangsa lemas selepas menyerahkan cek wang manfaat Takaful Malaysia di PSMZA Dungun. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

“ALHAMDULILAH isteri dan anak saya sudah pulih sepenuhnya, mereka boleh menerima apa yang berlaku,” kata Zulkiflee Zakaria, 52.

Zulkiflee ada bapa kepada arwah Mohammad Amir Izzudin Zulkiflee, 21, salah seorang daripada empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin PSMZA Dungun yang meninggal dalam kejadian lemas di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan pada 17 januari lalu.

Tiga lagi mangsa yang lemas dalam kejadian itu ialah, Mohamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, 21, Mohamad Ikhwan Ahmad Azhan, 21, dan Zulfahmi Zuki, 21.

Menurutnya, selepas tragedi yang meragut nyawa anaknya itu, isterinya Rohani Arifin, 51, dan anaknya Nur Farah Adibah, 14, mengalami kemurungan selama sebulan.

“Saya susah hati apabila isteri dan anak menjadi kemurungan dan sering menangis sepanjang masa hingga saya terpaksa mengambil cuti selama 20 hari.

“Kami kebumikan jenazah arwah di tanah perkuburan Felda Jengka 4, di mana kampung asal saya dan isteri dan sepanjang tempoh itu, saya menemani mereka menziarahi kubur arwah,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menerima cek wang manfaat Takaful Malaysia bernilai RM41,500 daripada Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail yang berlangsung di dewan serbaguna PSMZA dengan turut dihadiri Pengurus Perniagaan Takaful Malaysia Terengganu, Zanan Kassim.

Tiga lagi ahli keluarga mangsa yang hadir menerima wang manfaat itu ialah, Zuki Ab Razak, 53, Mohamed Sabarudin Mohamed Ali,58, dan Ahmad Azhan Ab Hamid, 56.

Zulkiflee berkata, sokongan daripada kedua-dua belah keluarga dia dan isteri, kini mereka sekeluarga kembali ceria.

“Wang Takaful yang saya terima itu akan digunakan untuk mengupah haji arwah manakala selebihnya akan gunakan untuk pendidikan adik arwah.

“Saya juga berterima kasih kepada Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mengecualikan bayaran pembiayaan hutang pelajaran arwah sebanyak RM10,000,” katanya.

Bapa kepada Zulfahmi pula, Zuki Ab Razak berkata, wang yang diterima itu akan digunakan untuk membiayai empat anaknya berusia 22 hingga 14 yang kesemuanya masih belajar.

“Saya perlu duit yang banyak untuk membiayai pendidikan anak-anak supaya mereka berjaya.

“Untuk perbelanjaan makan minum harian kami sekeluarga, saya akan terus bekerja kuat,” katanya yang mengambil upah sebagai pemotong rumput.

Sementara itu, Mohd Fikri berkata, semua pelajarnya diwajibkan mencarum dengan Takaful Malaysia sebanyak RM10 setahun.

“Melalui caruman itu ia memberi feadah yang sangat bermakna sekiranya berlaku kemalangan atau kematian kepada pelajar.

“Kami sudah mengeluarkan amaran tegas dan tidak membenarkan semua pelajar mandi di pantai dan kawasan air terjun. Kita juga meminta kerjasama ibu bapa pelajar supaya turut sama menyokong demi keselamatan nyawa anak-anak kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 6:16 PM