GAMBAR terakhir bekas ADUN Teluk Bahang yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Balik Pulau, Allahyarham Siti Faridah Arsyad (duduk, kanan), bersama keluarga. FOTO Ihsan keluarga
GAMBAR terakhir bekas ADUN Teluk Bahang yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Balik Pulau, Allahyarham Siti Faridah Arsyad (duduk, kanan), bersama keluarga. FOTO Ihsan keluarga
Zuhainy Zulkiffli

“SEBENARNYA kami merancang mahu mengadakan kejutan sempena ulang tahun kelahiran emak pada Sabtu ini, namun kami akan gantikan dengan majlis tahlil di rumah,” kata Siti Amalina Mohd Bohari, 32, anak sulung bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Siti Faridah Arsyad, 59.

Terdahulu, Allahyarham yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Balik Pulau meninggal dunia pada 4.45 pagi hari ini akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kencing manis.

Siti Amalina berkata, ibunya mula tidak sihat sejak menjalani rawatan dialisis selepas sambutan Aidilfitri pada Jun tahun lalu.

Menurutnya, pada 11 Februari lalu, ibunya dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menjalani pembedahan akibat jangkitan kuman dan melakukan pembedahan kecil semula, semalam akibat masalah sama.

Katanya, dia menerima panggilan pada 3.30 pagi daripada adiknya Siti Asilah, 25, supaya segera ke hospital berikutan keadaan ibunya semakin tenat.

“Arwah seorang yang tegas, namun dia kurang bercakap, mungkin kerana letih atau sedang melawan kesakitan sejak beberapa minggu lalu.

“Namun, kami bersyukur kerana kami tiga beradik dilapangkan masa bagi menjaganya semasa sakit.

“Arwah pernah berpesan, jika dia sudah tiada, jangan tinggal solat dan sentiasa mengirim doa kepada ibu bapa selain menjadi anak solehah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

SITI Amalina. FOTO Zuhainy Zulkiffli
SITI Amalina. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Siti Faridah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Pasir, Balik Pulau, selepas solat Zohor, hari ini.

Hadir sama memberi penghormatan terakhir ialah bekas Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Hilmi Yahya yang juga bapa saudara Siti Faridah.

Allahyarham aktif dalam politik selepas bersara sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kongsi, Balik Pulau dan menjadi ADUN Teluk Bahang selama sepenggal dari 2004 hingga 2008.

Hasil perkongsian hidupnya bersama suami, Mohd Bohari, 59, mereka dikurniakan empat anak iaitu Siti Amalina, Siti Aqilah, 29, dan Siti Asilah.

Manakala anak bongsu, Siti Alia, meninggal dunia pada 2001 akibat leukemia.

Berikutan Siti Amalina aktif dalam bidang politik, Siti Faridah berpesan supaya anak sulungnya itu menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas serta tanpa balasan.

“Arwah memang suka membantu, malah ada penduduk yang datang ke rumah pada lewat malam minta bantuan makanan dan sebagainya, emak tetap tunaikan walaupun sudah tidak bergelar wakil rakyat.

“Emak pernah cakap, dia bantu kerana tidak sanggup lihat orang dalam kesusahan. Disebabkan itu saya bertekad mahu menyambung tugas beliau,” katanya.

Berita berkaitan

Bekas ADUN Teluk Bahang meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 6:53 PM