Nor Farhani Che Ad

ANGGOTA Unit Rondaan Bermotosikal (URB) patah paha kanan selepas dilanggar kereta dalam kejadian langgar lari di lampu isyarat simpang empat Paya Besar, Kulim, hari ini.

Kejadian berlaku pada 1.14 pagi ketika Koperal Nurhishamuddin Muhamat Ismail, 39, yang bertugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kulim dalam perjalanan pulang ke rumah di Padang Serai selepas selesai tugasan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, ketika kejadian, mangsa yang menaiki motosikal Honda EX5 dalam perjalanan dari arah Kulim menghala ke Taman Kuchai.

“Ketika mangsa ingin melintasi lampu isyarat, secara tiba-tiba sebuah kereta Proton Satria berwarna perak dari arah Jalan Kilang Lama yang dipandu laju dipercayai melanggar isyarat lampu merah sebelum merempuh mangsa.

“Kereta itu didapati tidak berhenti sebaliknya terus memecut ke arah Lunas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Safuan berkata, berikutan kejadian itu, mangsa mengalami patah paha kanan selain cedera di anggota badan.

Katanya, mangsa kini dirawat di Hospital Kulim dan berada dalam keadaan stabil.

Berikutan itu, polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan pemandu kereta terbabit untuk membantu siasatan.

“Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat boleh disalurkan ke IPD Kulim atau mana-mana balai polis terdekat,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 9:23 PM