Amir Mamat


KERAJAAN Melaka mengubah strategi untuk menarik pelancong ke negeri itu susulan kelembapan terhadap sektor pelancongan akibat wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia termasuk memberi fokus kepada pelancong tempatan selepas menerima maklum balas daripada pemain industri itu yang terkesan akibat penularan virus berkenaan.

Beliau berkata, sektor perhotelan antara yang terkesan selepas banyak tempahan bilik khususnya daripada pelancong China dibatalkan.

“Antara strategi boleh dilakukan adalah memperkasakan sektor pelancongan kesihatan dengan menyasarkan lebih sejuta pelancong dari Indonesia mendapatkan khidmat kesihatan di hospital swasta di Melaka tahun ini.

“Melaka mempunyai beberapa hospital swasta menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik termasuk Pusat Perubatan Mahkota selain Hospital Pakar Putra,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Baru, Melaka, hari ini.

Beliau tidak menafikan wabak Covid-19 menyebabkan sektor pelancongan di Melaka terjejas, malah pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menyusun semula program serta perancangan sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

PENGARAH Urusan Bayou Lagoon Park Resort Sdn Bhd, Datuk Marco Seow Chee Han. FOTO Amir Mamat
PENGARAH Urusan Bayou Lagoon Park Resort Sdn Bhd, Datuk Marco Seow Chee Han. FOTO Amir Mamat

Sementara itu, Pengarah Urusan Bayou Lagoon Park Resort Sdn Bhd, Datuk Marco Seow Chee Han mengakui situasi yang berlaku memberi impak kepada aliran tunai operasi perniagaan sehingga dianggarkan mengalami pengurangan pelanggan kira-kira 30 peratus.

Katanya, pengurangan itu bukan sahaja membabitkan pelancong dari China, malah pelanggan domestik.

“Memang ada beri impak dan kita harap isu virus ini dapat dikawal dan tidak terus berlarutan supaya industri ini pulih kembali,” katanya.

PENGURUS Besar Ames Hotel, Partipal Paul Singh. FOTO Amir Mamat
PENGURUS Besar Ames Hotel, Partipal Paul Singh. FOTO Amir Mamat

Pengurus Besar Ames Hotel, Partipal Paul Singh, berkata pihaknya terkesan dengan keadaan itu sehinggakan lebih 60 peratus tempahan atas talian dibatalkan dalam tempoh sebulan.

“Kita dapati banyak pembatalan bilik dibuat oleh pelanggan, terutama dari China selain Singapura,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 6:47 PM