MARCO (dua dari kiri) membantu pengunjung menggunakan cecair pembasmi kuman, hari ini. FOTO Amir Mamat.
MARCO (dua dari kiri) membantu pengunjung menggunakan cecair pembasmi kuman, hari ini. FOTO Amir Mamat.
Amir Mamat


MELETAKKAN keselamatan dan kesihatan pekerja serta pengunjung sebagai keutamaan, beberapa hotel dan pusat beli-belah di Melaka mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah wabak Covid-19.

Langkah diambil membabitkan pekerja, pengunjung dan kemudahan bangunan kerap disentuh dan dilawati pengunjung.

Pusat beli-belah Mahkota Parade, Bandar Hilir, Melaka mengambil inisiatif menyediakan cecair pembasmi kuman kepada pengunjung di pintu masuk utama sebagai usaha mengurangkan penyebaran virus itu.

Pengurus Besarnya, Mohd Zahirudin Ahmad berkata, antara kawasan tumpuan dibersihkan setiap hari ialah butang lif, pemegang eskalator, tombol pintu, bilik bayi, tandas dan kerusi roda.

“Susulan penularan Covid-19, sebagai pusat beli-belah utama di Melaka kami mengambil inisiatif dan usaha mengurangkan penyebaran virus itu.

“Yang paling utama adalah untuk membuatkan pelancong dan pengunjung berasa lebih selesa dan selamat untuk membeli-belah di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bayou Lagoon Park Resort Sdn Bhd, Datuk Marco Seow Chee Han, berkata pihaknya turut mengambil inisiatif mencegah wabak itu daripada menular.

“Kami melakukan pembersihan di tempat sering disentuh pengunjung, malah setiap tetamu kami perlu menggunakan cecair pembasmi kuman di tangan sebelum memulakan urusan.

“Kami utamakan kesihatan dan keselamatan pengunjung termasuk pengunjung di taman tema kami,” katanya.

Manakala Pengurus Besar Hotel Ames, Partipal Paul Singh berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah untuk perlindungan kepada semua tetamu.

“Kami sudah memulakan kaedah ini sejak bulan lalu, malah semua kakitangan hotel ini diwajibkan memakai penutup hidung dan mulut bagi memastikan keselamatan sentiasa terjamin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 6:24 PM