Ahmad Rabiul Zulkifli

KEHADIRAN burung bangau di Kampung Sungai Rengas, Kuala Terengganu menjadi tarikan orang ramai di kampung berkenaan.

Tinjauan di kampung itu mendapati ribuan burung berwarna hitam putih itu berterbangan dan berkumpul di kawasan sawah seawal 7 pagi.

Mohd Nor Yusof, 53, berkata, burung bangau itu datang ke kawasan sawah pada musim membajak padi.

“Pada Februari tahun lalu ia datang di kawasan sawah Kampung Kubang Tangga tetapi pada tahun ini kumpulan burung yang sama beralih ke tanah sawah kampung ini.

“Saya selalu datang ke kawasan sawah itu pada awal pagi semata-mata untuk melihat kumpulan burung hijrah itu.

“Berasa tenang melihat ribuan burung bangau itu berterbangan di kawasan sawah sambil mencari makanan,” katanya ketika ditemui di kawasan sawah dekat Kampung Sungai Rengas, hari ini.

RIBUAN burung bangau berkumpul di sawah Kampung Sungai Rengas. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
RIBUAN burung bangau berkumpul di sawah Kampung Sungai Rengas. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Mohd Nor berkata, dia berharap tiada pihak yang memburu atau mengganggu burung itu.

“Kehadiran burung itu tidak mendatangkan sebarang masalah malah ia menjadi tarikan baru di kampung.

“Sebelum ini burung hijrah itu tidak pernah datang ke kawasan kampung dan spesies burung bangau itu hanya boleh dilihat dari jarak dekat di zoo sahaja,” katanya yang bekerja sebagai tukang paip.

Sementara itu Azizah Mohd, 49, berkata, dia datang ke kawasan sawah itu untuk melihat burung bangau selepas diberitahu penduduk kampung.

“Saya kali pertama melihat burung bangau dalam kumpulan yang besar seperti itu.

“Pemandangan burung bangau yang berkumpul dalam jumlah yang banyak seperti itu jarang berlaku,” katanya.

“Biasanya burung itu mencari makanan di kawasan itu sehingga 12 tengah hari sebelum ke tempat lain dan datang semula pada lewat petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 5:23 PM