POLIS akan rakam percakapan Najib (kanan) dan Rosmah. FOTO NSTP
POLIS akan rakam percakapan Najib (kanan) dan Rosmah. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS akan merakam percakapan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung pendedahan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, pihaknya juga akan merakam percakapan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

“Setakat ini seramai 12 saksi antara individu yang dikenal pasti dalam rakaman audio berkenaan sudah dirakam percakapan.

“Ia termasuk rakaman keterangan dari Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan Datuk Amhari Nazaruddin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas berhubung kes dakwaan akuan bersumpah bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri, Mohd Roze berkata, sehingga kini seramai 15 saksi sudah dirakam percakapan.

“Saksi-saksi lain yang sudah dikenal pasti akan dipanggil dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan sebelum permohonan Azilah untuk mengkaji semula hukuman matinya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan dijadualkan di dengar pada 20 April ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 5:10 PM