V Balamurugan (baju merah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar tahun lalu. FOTO Abdullah Yusof.
V Balamurugan (baju merah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar tahun lalu. FOTO Abdullah Yusof.
BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini menetapkan 24 Februari ini sebagai pengurusan kes bagi semakan kehakiman difailkan pemandu teksi V Balamurugan yang berdepan lima pertuduhan berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) untuk membatalkan warta kerajaan yang menyenaraikan kumpulan itu sebagai pengganas pada 2014.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, mewakili Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia, memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya, hari ini.

Turut hadir peguam Omar Kutty dan Muhammad Farhan Ahmad Fadzil bagi pihak Balamurugan.

Ahmad Hanir berkata, mahkamah menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan bahawa Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas tidak membantah permohonan yang difailkan Balamurugan.

Omar ketika ditemui turut mengesahkan perkara itu.

Pada 8 Januari lalu, Balamurugan memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman memohon suatu perintah certiorari bagi membatalkan serta-merta butiran mengenai LTTE di dalam Perintah Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pengisytiharan Entiti Ditentukan Dan Kehendak Untuk Melapor) (Pindaan) 2014 bertarikh 12 November 2014.

Balamurugam memohon suatu pengisytiharan dan/atau deklarasi bahawa butiran mengenai LTTE dalam perintah itu tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai.

Sementara, kemasukan butiran mengenai LTTE adalah batal dan tidak sah yang mana ia adalah ‘ultra vires’ atau melangkaui Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Balamurugan, 38, mengaku tidak bersalah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh atas empat pertuduhan iaitu memberi sokongan kepada LTTE dalam satu majlis, memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan LTTE dan mempamerkan item yang berunsur perbuatan keganasan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tiga lokasi iaitu di Sungai Siput Utara, Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar; Perkarangan Stesen Teksi dan Taman Bukit Medan, Perak antara 28 Disember 2014 hingga 10 Oktober 2019.

Bagi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE, dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan sama, iaitu penjara sepanjang hayat atau penjara maksimum 30 tahun, atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau di niat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan memiliki dan mempamerkan item, Balamurugan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 130JB(1)(b) yang boleh dihukum di bawah peruntukan sama, iaitu penjara maksimum tujuh tahun, atau denda, dan dilucuthakkan mana-mana item terbabit.

Balamurugan juga mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali atas pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dengan menggunakan aplikasi Facebook atas nama ‘Balamurugan Veerasamy’ di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Cawangan Khas Bukit Aman, pada 10 pagi, 7 Oktober tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 5:35 PM