BERNAMA

PELAKSAAN dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) masih belum dimuktamadkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perbincangan berhubung pelaksanaan PPSMI masih di peringkat awal.

"Perkara itu masih dalam perbincangan awal, keputusan masih belum dimuktamadkan," katanya selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Hokkien Klang, Selangor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pelaksanaan dasar itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa mesyuarat khas bersama Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya Jumaat lalu, menekankan berhubung perlunya menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Dr Mahathir, yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dan penguasaan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 7:00 PM