Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tun Dr Mahathir Mohamad.
BERNAMA

PENGAJARAN dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bertujuan memantapkan penguasaan bidang sains bermula di peringkat sekolah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, demi menguasai sains, rakyat Malaysia perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana bidang itu berkembang di negara barat melalui bahasa itu.

“Penguasaan bahasa Inggeris dalam bidang sains amat penting kerana ia bukan ilmu dari kita. Ia datang dari luar hasil budaya yang berlainan daripada kita.

“Budaya kita dahulu apabila berhadapan masalah, kita salahkan kuasa ghaib dan makhluk halus. Itu pendekatan kita. Tetapi, saintis ingin tahu apa sebenar berlaku dengan membuat penyelidikan,” katanya menerusi temu bual eksklusif bertajuk #PMJawab keluaran The Malaya Post malam kelmarin.

Dr Mahathir yang juga Pemangku Menteri Pendidikan berkata, saintis Barat sentiasa berusaha mencari kebenaran terhadap sesuatu masalah melalui proses penyelidikan dan berkongsi setiap penemuan dalam bahasa Inggeris.

“Hari-hari mereka beri pendapat (penemuan) baharu yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Memang kita boleh terjemah, tetapi kita kena fasih (faham) bidang sains. Kalau tidak faham, kita tidak boleh terjemah ke dalam bahasa Melayu,” katanya.

Justeru, beliau berpendirian perkara itu perlu diterima semua pihak sekiranya mahu negara maju.

Buat masa ini kerajaan belum membuat keputusan pelaksanaan PPSMI di sekolah dan menurut Dr Mahathir, kerajaan menubuhkan jawatankuasa kecil bagi meneliti pelaksanaan semula PPSMI dan keputusannya dibuat secepat mungkin.

Menerusi temu bual hampir sejam itu, Dr Mahathir turut disoal mengenai model Sekolah Wawasan yang pernah dilancarkan di bawah pentadbirannya sebagai perdana menteri keempat pada 1997, beliau berkata, walaupun sukar diperkenalkan, ia menjadi pusat perpaduan antara kaum di negara ini.

“Bila ada sekolah ini, kita ada tiga sekolah dalam satu kampus. Walaupun guna bahasa berlainan, apabila ada perhimpunan waktu pagi mereka berkumpul, bersukan di dalam satu pasukan campuran. Dengan ini, pelajar dapat berjumpa dan berhubung,” katanya.

Menyentuh senario politik, Dr Mahathir berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengamalkan prinsip demokrasi dalam setiap agenda yang dilaksanakan menerusi perbincangan bagi mencapai kata sepakat daripada semua parti dalam PH.

“Suasana politik sekarang berubah. Dahulu parti berkuasa adalah Umno dan mereka boleh buat apa sahaja sehingga ada pemimpin buat silap, tetapi masih kekal,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau turut mengamalkan prinsip terbuka mendengar pendapat daripada semua pihak seperti parti lawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk yang berasaskan kaum, serta badan agama.

“Kalau saya tidak tahu pendapat mereka, maka masalah timbul tidak dapat ditangani. Itu yang berlaku.

“Tapi ada orang tafsirkan perjumpaan saya dengan pemimpin parti lawan bermakna saya berusaha membuat parti campuran baharu. Itu tidak benar,” katanya mengulas mengenai kemungkinan tertubuhnya kerajaan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 6:01 AM