Foto hiasan
Foto hiasan
Norsyazwani Nasri

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga penutup hidung dan mulut di Sarawak.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Muez Abdul Aziz berkata, mereka yang mengambil kesempatan dengan menaikkan peralatan itu secara tidak munasabah ketika orang ramai memerlukannya sebagai langkah keselamatan dan pencegahan wabak koronovirus baharu akan dikenakan tindakan tegas.

“Tindakan tegas ini adalah melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Sehubungan itu, kementerian memohon kerjasama dan perhatian pihak yang terbabit dalam pembekalan dan penjualan penutup hidung dan mulut membuat urus niaga secara berhemah dan mematuhi peruntukan harga maksimum yang ditetapkan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan media di Kuching hari ini.

Beliau berkata, terdapat lima jenis penutup hidung dan mulut yang ditetapkan sebagai barangan harga terkawal.

“Penutup hidung dan mulut pembedahan atau perubatan yang mempunyai satu lapisan dijual pada harga borong RM5 dan harga runcit RM7 sekotak manakala yang ada dua lapisan harga borong adalah RM8 dan harga runcit RM10 sekotak, sementara 20 sen seunit.

“Bagi penutup sama yang mempunyai tiga lapisan (gelung telinga/gelung kepala), sekotak harga borong adalah RM25 dan harga runcit adalah 80 sen seunit.

“Untuk N95 pula, ia dijual pada harga RM10 untuk borong dan RM6 seunit pada harga runcit,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kelima-lima jenis penutup hidung dan mulut itu dikawal harganya secara perundangan mengikut akta yang sama.

“Sebarang perlanggaran di bawah peruntukan akta ini boleh dikenakan denda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Menurutnya, kementerian masih mempunyai kuasa mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (bagi sebarang perlakuan menaikkan harga borong atau runcit topeng muka secara tidak munasabah).

“Kementerian menjalankan pemantauan berterusan dengan mengarahkan pegawai-pegawai penguat kuasa seramai 2,300 orang untuk membuat pemeriksaan seluruh negara sejak 25 Januari lalu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 2:49 PM