ANTARA kenderaan yang rosak akibat dilanggar suspek di bawah pengaruh dadah. FOTO ihsan polis.
ANTARA kenderaan yang rosak akibat dilanggar suspek di bawah pengaruh dadah. FOTO ihsan polis.
Mohd Khidir Zakaria


LELAKI disyaki di bawah pengaruh dadah menyelerakkan barangan di sebuah kedai runcit dan memandu secara berbahaya serta melanggar empat kenderaan lain, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian 4 petang itu, suspek berusia 26 tahun itu berjumpa dengan rakannya di Pantai Batu 1, Port Dickson.

“Pada 6.45 petang, suspek beredar dari lokasi selepas berlaku pertengkaran dengan rakannya. Suspek melarikan diri dengan memandu kereta Proton Saga.

“Sebaik sampai di Taman Muhibbah, kereta suspek melanggar sebuah motosikal Honda Wave dan sebuah kereta Perodua Kancil.

“Suspek keluar dari keretanya dan memasuki sebuah kedai runcit dan menyelerakkan barang di dalam kedai itu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek melarikan diri dan apabila sampai di lampu isyarat Shell Gate, dia melanggar dua lagi kereta Perodua Kancil dan Nazaria.

Katanya, suspek kemudian melarikan diri menuju ke arah lampu isyarat berhampiran Kampung Paya sebelum ditahan orang awam.

“Suspek akhirnya diserahkan kepada polis peronda dan di bawa ke Balai Trafik Port Dickson untuk tindakan lanjut.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan Mahkamah Port Dickson membenarkan reman empat hari bermula hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kes Kemalangan Jalan Raya (KJR), Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 2:03 PM