FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mahaizura Abd Malik


SETIAP jenama penapis air terutama diimport dari luar negara perlu diwajibkan mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum dibenarkan berada di pasaran.

Suri rumah dari Kuala Langat, Selangor, Sholehah Johan, 34, berkata, langkah itu bagi memastikan orang ramai terutama pengguna Islam tidak tertipu dengan mengambil produk syubhah berikutan penapis air kini sudah menjadi satu keperluan di setiap rumah.

“Sudah enam tahun saya menggunakan satu jenama penapis air di rumah kerana memudahkan kerja harian saya termasuk membuat susu anak.

“Namun bukan kepakaran kita untuk menyemak dan mengetahui produk itu halal atau tidak.

“Justeru, saya berharap Jakim pantau dan sahkan status halal semua produk penapis air itu terlebih dahulu terutama dari luar negara yang kita sendiri tidak tahu sumber bahan pembuatannya dari mana,” katanya.

Eksekutif sebuah syarikat swasta di ibu negara, Nor Laili Omar, 35, berkata, Jakim bukan saja perlu serius memantau tetapi menjelaskan keraguan masyarakat tentang isu penapis air tidak halal ini.

Sholehah Johan.
Sholehah Johan.

“Agak membimbangkan apabila dapat tahu memang ada penapis air yang diperbuat daripada tulang haiwan. Saya sangat berpegang kepada sumber sahih seperti Jakim untuk mengesahkan status halal.

“Jika betul isu ini, saya harap Jakim dapat semak dan memberikan maklumat sahih termasuk senaraikan jenama untuk menjamin kesejahteraan umat Islam.

“Pihak berkuasa juga boleh fikirkan kaedah lebih tegas termasuk mewajibkan produk itu mendapat pengesahan halal sebelum dijual untuk memastikan pengguna dapat menggunakan penapis air yang diyakini selamat dan halal,” katanya.

Muka depan Metro Ahad, semalam mendedahkan hasil kajian Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) mendapati 120 jenama penapis air di pasaran terutama dari China dan Taiwan diragui status halalnya dikhuatiri diperbuat daripada tulang haiwan.

Perkara berkenaan turut diakui Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri yang membuat pemeriksaan lapangan dan menemui penapis air mengandungi bahan dari sumber haiwan seperti tulang dan juga lemak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 6:10 AM