Syahidah bersama anaknya yang menghidap lebihan cecair di kepala. FOTO Roselan Ab Malek
Syahidah bersama anaknya yang menghidap lebihan cecair di kepala. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


HOSPITAL menjadi rumah buat keluarga Nur Arissa Sumayyah Mohd Faidhisham, 2 tahun yang menghidap lebihan cecair di kepala atau hydracephalus.

Mohd Faidhisham Samsudin, 30, berkata, dia dan isteri, Syahidah Suhaimi, 28, perlu berulang alik dari Jerantut, Pahang ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk pembedahan selain Hospital Jerantut serta Hospital Temerloh demi anak sulung mereka.

“Anak dilahirkan di HUSM kerana ketika itu isteri masih bekerja di Kota Bahru dan pemeriksa doktor mendapati Nur Arissa Sumayyah disahkan menghidap hydrocephalus ketika 27 minggu dalam kandungan ibunya.

“Setakat ini anak saya sudah tiga kali menjalani pembedahan ‘shunt’ di HUSM untuk mengalirkan lebihan cecair di kepala sejak lahir dengan pembedahan terakhir 1 November lalu.,” katanya.

Katanya, anaknya perlu menjalani pembedahan sekali lagi dalam tempoh terdekat di HUSM dan kosnya masih belum diketahui lagi.

Mohd Faidhisham berkata, mereka kini menanggung perbelanjaan tinggi untuk keperluan anaknya terutama kos ulang alik ke hospital memandangkan isterinya sudah berhenti kerja untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak mereka.

“Anak kami juga memerlukan susu khas untuk menaikkan berat badannya selain lampin pakai buang dan rawatan susulannya,” katanya.

Mereka menaruh harapan tinggi agar Nur Arissa Sumayyah kembali sihat seperti kanak kanak lain sekali gus mengharapkan doa orang ramai anaknya sembuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 1:21 PM