BURUNG Murai batu yang diletakan dalam raga dipercayai diseludup dari negara jiran. FOTO Ihsan PGA.
BURUNG Murai batu yang diletakan dalam raga dipercayai diseludup dari negara jiran. FOTO Ihsan PGA.
Muhamaad Razis Ismail


PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas 210 burung murai batu dianggarkan lebih RM52,000, yang diseludup dari negara jiran di hadapan sebuah masjid di Rantau Panjang semalam.

Dalam operasi 5 petang itu, lelaki tempatan berusia 55 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Cawangan Risik PGA menahan kereta Proton Wira yang dipandu lelaki.

“Pemeriksaan lanjut, kita menemui 21 raga berisi 210 burung murai batu di tempat duduk penumpang belakang.

“Pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen burung yang dibawa itu dan kita syak ia diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati burung itu dibawa masuk ke negeri ini untuk dipelihara.

“Suspek dan barang kes diserahkan kepada Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Kelantan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 5:33 PM