MUHAMMAD Adam yang ditinggalkan di dalam kotak di Jalan Jelai, Alor Setar pada 3 Julai lalu. FOTO ihsan JKM.
MUHAMMAD Adam yang ditinggalkan di dalam kotak di Jalan Jelai, Alor Setar pada 3 Julai lalu. FOTO ihsan JKM.
Mohd Rizal Abdullah


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Setar mengesan waris bayi lelaki berusia lima bulan yang ditinggalkan di dalam kotak di Jalan Jelai, Alor Setar, Julai lalu.

Bayi dinamakan Muhammad Adam itu ditemui orang awam dalam keadaan hanya berbalut kain batik pada 8.15 pagi, 3 Julai lalu.

Pegawai JKM Kota Setar, Mohd Sabri Saad berkata, pihaknya sedang berusaha mengesan ibu bapa, waris atau pihak bertanggungjawab terhadap bayi itu.

Menurutnya, bayi itu kini ditempatkan di pusat penjagaan di Taman Sinar Harapan, Jitra.

“Nama bayi itu didaftarkan pada 1 Ogos lalu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah, bagaimanapun taraf kewarganegaraan belum dapat ditentukan.

“Sepanjang berada di pusat jagaan, bayi itu sudah menerima suntikan imunisasi mengikut usianya,” katanya.

Beliau berkata, tahap kesihatan bayi itu bertambah baik berbanding hari pertama ditemui.

“Berat bayi itu adalah tujuh kilogram (kg) dengan ketinggian 66 sentimeter (cm) berbanding ketika ditemui hanya seberat 2.98kg dengan tinggi 48cm.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung bayi itu boleh menghubungi JKM di talian 04 720 2370,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 4:09 PM